MELAKA: Kerajaan negeri dan seluruh rakyat Melaka berduka dengan nahas melibatkan bas persiaran yang membawa rombongan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah di sini menuju ke Terengganu sehingga mengorbankan dua guru sekolah berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, segala urusan jenazah mangsa yang terkorban dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi di simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang itu akan diuruskan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Ujarnya, selain dua guru yang maut iaitu Hasnatul Adilah Hassan, 48, dan Hamzah Ahmad, 60, setakat ini pihaknya dimaklumkan bahawa terdapat 36 penumpang mengalami kecederaan.
“Saya turut mewakilkan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Setiausaha Politik saya, Abdul Hakim Abdul Wahid serta Pengarah Pendidikan Melaka, Mohammad Ghazali Ahmad untuk menziarahi dan memberikan bantuan segera kepada semua mangsa yang cedera di Hospital Muadzam.
“Difahamkan, mangsa-mangsa kemalangan mendapatkan rawatan di Hospital Muadzam, Hospital Kuantan dan di Hospital Segamat. Kerajaan negeri akan memantau perkembangan tragedi ini dari semasa ke semasa. Segala urusan jenazah akan diuruskan oleh MAIM.
“Kerajaan negeri berduka dengan tragedi yang menimpa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Hasnatul Adilah yang merupakan Guru Penolong Kanan 1 SK Jeram sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.
Mangsa dipercayai tercampak keluar dalam kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran dan treler berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat. – UTUSAN









