JASIN: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 186.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.00 pagi itu, mangsa, Mohd. Azmizan Stapa, 39, yang memandu lori Isuzu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian kesemua kenderaan terlibat sedang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara.
“Nahas dipercayai berlaku apabila lori Nissan UD yang membawa muatan ayam memperlahankan kenderaan kerana terdapat kerja-kerja penyelenggaraan di hadapan.
“Setibanya di lokasi nahas, lori yang dipandu mangsa telah melanggar bahagian belakang lori Nissan UD. Rempuhan tersebut menyebabkan lori Nissan UD bergerak ke hadapan lalu melanggar sebuah lagi lori Hino,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, pemandu lori Nissan UD dan Hino serta dua penumpang lain berusia antara 32 dan 36 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati cuaca adalah baik, cerah dan kering manakala jalan dua lorong satu hala. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN









