JASIN: Seorang kakitangan Hospital Melaka maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan Jalan Gereja, Kampung Paya Tanjung di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mangsa, Mohd. Azlan Ramli, 39, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke Serkam.
“Pada masa sama, sebuah kereta Honda HRV yang dipandu seorang lelaki sedang dalam perjalanan dari simpang Jalan Gereja menghala ke Tampin. Setibanya di lokasi kejadian, mangsa yang bergerak lurus tidak sempat mengelak lalu merempuh SUV yang sedang membelok ke arah kanan jalan.
“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak atas jalan dan maut di lokasi kejadian manakala pemandu kereta berusia 49 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Tambah Ahmad Jamil, punca kemalangan dipercayai akibat kegagalan pemandu kereta memastikan keadaan selamat sebelum keluar dari persimpangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN









