ALOR GAJAH: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Tangki Air, Ramuan China Besar di sini sewaktu pengebumian Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang maut dalam kemalangan melibatkan bas persiaran dengan treler di simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang hari ini.
Jenazah Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram itu selamat disemadikan pukul 8.50 malam, dihadiri kira-kira 300 orang termasuk sanak-saudara, sahabat handai serta para guru.
Jenazah tiba di Masjid Al Muhtadi dari Hospital Muadzam Shah tepat pukul 6.43 petang untuk disembahyangkan.
Tangisan dan air mata menyelubungi suasana ketika sanak-saudara, guru-guru dan penduduk setempat melihat wajah Allahyarhamah buat kali terakhir.
Anak Allahyarhamah yang turut cedera dalam kemalangan itu, Muhammad Farouq Saifullizan, 12, dipapah untuk melihat wajah ibunya.
Solat jenazah diimamkan anak keempatnya, Muzaffar Shah Saifullizan, 19, dengan diikuti hampir 300 jemaah.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pegawai Kewangan Negeri yang memangku jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh.

Sementara itu, adik bongsu Allahyarhamah, Mohd. Hafizuddin Hassan, 37, berkata, dia dimaklumkan mengenai pemergian kakak sulungnya kira-kira pukul 4.30 pagi.
Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa dengan Allahyarhamah adalah ketika cuti Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Saya terkilan kerana tidak sempat berjumpa arwah ketika pulang bercuti ke kampung dua minggu lalu kerana saya amat rapat dengan arwah.
“Kali ini balik kampung langsung tidak berpeluang berjumpa dengan kakak saya dan tidak seperti sebelum ini, kalau balik mesti jumpa dia,” katanya ketika ditemui di Taman Datuk Setia.
Tambah Mohd. Hafizuddin yang bertugas sebagai Ketua Woksyop di Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah, selama tiga tahun berturut-turut dia kehilangan ahli keluarga sejak 2022.
“Dua anak saudara saya meninggal dunia pada 2022 dan 2023 dan ini saya sifatkan sebagai takdir,” katanya.
Hasnatul Adilah Hassan merupakan seorang daripada tiga mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Dua lagi yang maut ialah pemandu kedua bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, dan pembantu operasi SK Jeram, Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi, bas persiaran dengan 39 penumpang itu membawa rombongan dari SK Jeram menuju ke Terengganu bagi menyertai rombongan penanda aras. – UTUSAN










