Isteri sempat minta pelukan sebelum ‘pergi’

Isteri sempat minta pelukan sebelum ‘pergi’

ANAK-ANAK Allahyarhamah Dahlia Ahmad menyiram air di pusara ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: “Saya ingatkan isteri hanya bergurau tetapi tidak menyangka permintaan pelukan itu adalah yang terakhir”.

Demikian luahan Zul Sham Mahat, 56, iaitu suami kepada Allahyarhamah Dahlia Ahmad, 52, mangsa keempat yang meninggal dunia selepas terlibat kemalangan berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang semalam.

Katanya, permintaan itu diluahkan isterinya sebelum bertolak ke Terengganu bagi mengikuti program penanda aras.

“Sebelum pergi dia sempat bersalaman dan mencium tangan saya. Ini adalah rutin biasa arwah tetapi pada hari kejadian dia minta saya peluk dia sekali.

“Dia kata kenapa tidak mahu peluk kerana dia sudah hendak pergi. Saya tidak fikir apa-apa dan menganggap dia hanya bergurau namun tidak menyangka pelukan itu adalah yang terakhir,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram itu selamat disemadikan pukul 10.50 pagi, dihadiri kira-kira 200 orang termasuk sanak-saudara, sahabat handai serta para guru.

Tambah Zul Sham, Allahyarhamah yang baharu sahaja bertukar ke SK Jeram awal tahun ini meninggalkan lima orang anak berusia antara 14 hingga 23 tahun.

Menurutnya, anak bongsu iaitu Adam Adham Zul Sham yang juga kanak-kanak istimewa masih belum memahami sepenuhnya keadaan yang berlaku ketika ini.

“Saya lihat pada mulanya dia okey tetapi apabila ramai orang yang datang menziarahi jenazah isteri, dia mula sebak. Saya perasan dia duduk dalam bilik berseorangan dan lihat gambar mama dia.

“Kemudian dia pegang gambar mamanya dan dari situ dia mungkin faham apa yang sedang berlaku,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN