Dahlia berulang kali pelawa duduk sebelah

Dahlia berulang kali pelawa duduk sebelah

NORWAHIDA Waris melihat kecederaan yang dialaminya anaknya, Muhammad Rayyan Wafi Roshidi ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Pelawaan berulang kali Allahyarhamah Dahlia Ahmad, 52, untuk duduk bersamanya dalam bas masih tidak dapat dilupakan Norwahida Waris, 42.

Kata guru Pendidikan Islam itu, arwah Dahlia ada menghubunginya tetapi panggilan tersebut tidak dijawab kerana sedang memandu kereta ke sekolah.

“Jadi dia beritahu melalui mesej di aplikasi WhatsApp hendak ajak saya duduk bersama di bahagian hadapan, malah arwah turut mengosongkan tempat duduk di sebelahnya. Kebetulan malam itu saya lambat sampai dan anak yang turut serta dalam rombongan terus duduk di kerusi belakang.

“Saya beritahu arwah mahu temankan anak dahulu dan akan duduk disebelahnya sekiranya bas singgah di mana-mana perhentian. Malang tidak berbau apabila bas dinaiki terlibat kemalangan sebelum saya sempat bertukar tempat duduk,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah di sini, hari ini.

Semalam, sebuah bas persiaran yang membawa rombongan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram terlibat kemalangan dengan sebuah treler berhampiran simpang tiga Bahau, Jalan Kuantan-Segamat, Pahang.

Nahas itu mengorbankan Dahlia bersama tiga yang lain iaitu Hasnatul Adilah Hassan, 48; Hamzah Ahmad, 60, dan Mohd. Adi Hasan, 29.

Tambah Norwahida, dia berasa sedih kerana kehilangan kawan baik dalam tragedi tersebut.

Menurutnya, mereka berdua sempat membeli tudung baharu bersama-sama untuk dipakai ketika mengikuti program penanda aras di Terengganu.

“Asbab anak saya duduk di belakang bas ketika itu telah menyelamatkan nyawa saya. Saya juga bersyukur anak saya selamat walaupun ketika ditemui dia berada di bawah arwah Hamzah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN