ALOR GAJAH: Seorang wanita parah manakala seorang lagi cedera ringan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 209 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam, mangsa yang menaiki kereta Perodua Bezza, Siti Noor Shahida Md. Shah, 28, mengalami patah leher sementara Siti Noor Aishah Md. Shah, 29, cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Petronas Ayer Keroh manakala sebuah kereta jenis Mercedes Benz C300 menghala ke Johor Bahru, Johor dari Kuala Lumpur.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Mercedes Benz yang berada di lorong kanan telah masuk ke lorong tengah dan melanggar Perodua Bezza dari arah belakang. Pelanggaran tersebut menyebabkan Perodua Bezza berpusing sebelum kedua-dua kenderaan terbabas di bahagian kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, penumpang Perodua Bezza patah leher manakala pemandunya mengalami lebam pada bahagian badan dan dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan. Remaja lelaki berusia 17 tahun yang memandu Mercedes Benz tidak cedera,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ashari, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan yang terlibat ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan kenderaan,” katanya. – UTUSAN










