MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan, beliau selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan susulan kes pokok tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank, Kuala Lumpur petang tadi.
Ab. Rauf berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, pokok berkenaan mengenai bahagian belakang kereta polis pengiring yang baharu sahaja melintasi lokasi tragedi.
Ujarnya, pihak berwajib perlu memantau keadaan pokok-pokok yang berada di sekitar bandaraya itu bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
“Sewaktu kejadian pukul 3.30 petang, saya berada betul-betul di tempat kejadian yang menimpa sebuah kereta, tatkala itu kenderaan saya tidak bergerak memandangkan suasana cuaca ketika itu tidak mengizinkan kenderaan saya bergerak.
“Manakala polis yang mengiringi saya baharu sahaja melintas di kawasan tersebut, tetapi malang pokok tersebut juga menghempap bahagian belakang kereta pengiring saya.
“Alhamdulillah saya berada dalam keadaan yang selamat dan minta semua pihak berkuasa dapat memantau pokok-pokok berada di sekitar bandaraya ini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kenderaan polis pengiring Ketua Menteri Melaka merupakan antara sembilan kenderaan terjejas dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang.
Tiada sebarang kecederaan berlaku membabitkan pemandu dan penumpang terlibat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kenderaan yang rosak melibatkan tiga kenderaan awam dan sebuah milik Polis Diraja Malaysia (PDRM). – UTUSAN










