Warga emas maut, empat cedera nahas dua kereta

Warga emas maut, empat cedera nahas dua kereta

PROTON Wira yang dinaiki empat sekeluarga remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kampung Paya Rumput, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas maut manakala tiga ahli keluarganya cedera selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua buah kereta di Jalan Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.50 tengah malam itu, mangsa, Timah Abu, 82, disahkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah akibat kecederaan parah.

Turut terlibat dalam nahas itu ialah Noordin Mohamed Sali, 50; Saadiah Mohd. Yasin, 46, serta Muhammad Megat Iskandar Muhammad Zulkarnain, 6, yang sedang menerima rawatan di zon kuning hospital sama kerana mengalami kecederaan pada bahagian muka, mulut, dada, perut serta tangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, nahas membabitkan sebuah kereta Perodua Axia dari arah Kampung Ramuan China Besar menghala ke Masjid Tanah dengan sebuah Proton Wira yang datang dari Masjid Tanah menghala ke Lubok Redan.

“Setibanya di lokasi nahas Perodua Axia dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun telah hilang kawalan ketika di selekoh dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Proton Wira dinaiki empat sekeluarga.

“Akibat pertembungan itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan. Pemandu Perodua Axia dimasukkan ke zon merah manakala seorang penumpang Proton Wira disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4 pagi tadi,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ashari, siasatan di lokasi mendapati nahas berlaku di jalan berselekoh, satu lorong dua hala sementara faktor cuaca dan pencahayaan adalah baik.

“Borang Pol. 61 telah dikeluarkan dan diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat. Kenderaan terlibat telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN