Pemandu lori, kelindan cedera dalam nahas tiga lori

Pemandu lori, kelindan cedera dalam nahas tiga lori

KEADAAN lori Isuzu yang remuk pada bahagian depan selepas melanggar sebuah lagi lori di Kilometer 186.9 PLUS arah selatan berhampiran Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Dua pemandu serta seorang kelindan lori cedera dalam nahas membabitkan tiga buah lori di Kilometer 186.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa yang juga pemandu lori jenis Hino, Ng Chin Kiang, 52, dan kelindannya, Muhammad Niza Abu Seman, 30, mengalami kecederaan pada bahagian leher dan luka kaki serta tangan.

Sementara itu, pemandu lori jenis Isuzu, Mohmed Faizruz Mohmed Hussin, 47, hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan membabitkan tiga buah lori dari arah Kuala Lumpur menuju ke Johor.

“Sebaik tiba di tempat kejadian lori Isuzu dipercayai telah terlanggar bahagian belakang sebuah lori lain menyebabkan muatan gelung kabel yang dibawa jatuh ke atas jalan sebelum dilanggar lori Hino yang datang dari arah belakang.

“Pada masa sama sebuah lagi lori jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki berusia 37 tahun tidak sempat mengelak lalu terlanggar bucu bahagian belakang lori Hino. Akibat kemalangan itu, pemandu dan kelindan lori Hino cedera di beberapa bahagian tubuh dan dirawat di Zon Kuning Hospital Jasin.

“Pemandu lori Isuzu cedera ringan dan menerima rawatan di Zon Hijau hospital sama manakala pemandu lori Volvo tidak cedera,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ahmad Jamil, siasatan di lokasi nahas mendapati jalan lurus dan kering, dua lorong satu hala serta keadaan cuaca adalah baik.

“Tempat kejadian telah dilawati serta gambar rajah kasar telah dirakam. Kes disiasat dibawah Rule 10 LN 166/59,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN