ALOR GAJAH: Seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Masjid Tanah maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum dirempuh sebuah kereta di Jalan Lubok China di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Muhammad Izzul Irsyad Muhammad Nizam, 30, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan perut.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha R15 dalam perjalanan dari Pekan Lubok China menghala ke Ramuan China Kecil.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya dan terbabas kerana jalan licin sebelum dirempuh sebuah kereta Honda City dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 42 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ashari, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.
“Kenderaan terlibat dibawa ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










