Kelindan maut, nahas dua lori

Kelindan maut, nahas dua lori

NAHAS membabitkan dua buah lori di Kilometer 195.3 PLUS arah selatan berhampiran Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang kelindan maut dalam nahas membabitkan dua buah lori di Kilometer 195.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, kira-kira pukul 5.30 pagi tadi.

Mangsa, Muhamad Yusry Azman, 23, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada seluruh anggota badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, lori Isuzu dinaiki mangsa yang membawa barangan plastik dari Pulau Pinang ke Muar, Johor telah melanggar belakang lori UD Quester sedang berhenti di lorong kecemasan.

Katanya, pemandu lori Isuzu cedera pada bahagian badan manakala pemandu lori UD Quester tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua lori dari arah sama iaitu dari utara menghala ke selatan. Kemalangan dipercayai berlaku apabila lori UD Quester yang tiba di lokasi kejadian telah mengalami kerosakan pada bahagian enjin dan berhenti di lorong kecemasan.

“Tidak lama kemudian datang lori Isuzu dinaiki mangsa dari arah belakang telah melanggar pada bahagian belakang sebelah kanan. Akibat daripada itu, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Terdapat kesan tayar dan serpihan komponen kenderaan ditemui di tempat kejadian. Tiada saksi bebas yang melihat kejadian tersebut dan juga tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ashari, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu lori Isuzu dibawa ke Hospital Jasin untuk rawatan.

“Pemandu lori UD Quester diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut dan kenderaan-kenderaan terlibat ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan kenderaan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN