MELAKA: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun lena tidur dalam kereta milik ibunya yang terkunci, meskipun hampir 20 minit orang ramai cuba membantu membuka pintu kenderaan itu bagi mengeluarkan murid darjah dua berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang tadi di Taman Lagenda di sini, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang dihubungi ibunya.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan I (KUP) Mohd. Ismail Harun berkata, panggilan kecemasan diterima pihaknya pukul 2.56 petang melalui talian MERS 999.
“Setiba di lokasi kita dapati seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sedang nyenyak tidur dalam sebuah kereta Honda Civic FD yang terkunci dengan keadaan enjin dihidupkan.
“Anggota penyelamat berjaya membuka pintu kereta hanya dalam masa lima minit. Kanak-kanak itu diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita.
Tambah Mohd. Ismail, kanak-kanak terlibat terkunci dalam kenderaan itu selepas ibunya keluar ke kedai berhampiran.
“Orang ramai telah cuba membantu, namun gagal. Ibunya dikatakan keluar untuk membuat urusan di kedai berhampiran sebelum mendapati keretanya terkunci, manakala anaknya sudah tertidur mungkin akibat keletihan,” ujarnya. – UTUSAN










