MELAKA: Lebih 300 kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bersiap-siaga berdepan bencana banjir berikutan peralihan monsun sejak 29 Mac lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Komuniti Melaka, Datuk Kalsom Noordin berkata, kesemua kakitangan akan digerakkan ke setiap pusat pemindahan sementara (PPS) yang bakal dibuka.
Menurutnya, mereka bertanggungjawab dalam soal menyediakan kelengkapan di PPS termasuk bekalan makanan dan sebagainya.
“Jika berlaku banjir JKM akan terlebih dahulu membuka PPS dan petugas akan segera dihantar ke lokasi berkenaan, membantu mengatur segala kelengkapan untuk mangsa banjir ditempatkan.
“Selain itu kita akan membantu memberikan kaunseling kepada semua mangsa yang pastinya trauma apabila rumah mereka dinaiki air hingga mereka terpaksa ditempatkan di PPS. Semua petugas akan berada di PPS sepanjang tempoh 24 jam sehingga PPS ditutup,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di sini, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Setakat pukul 2 petang tadi, satu-satunya PPS yang dibuka pada malam Selasa lalu di Melaka iaitu di Balai Raya Bukit Balai, Durian Tunggal dengan menempatkan seramai 55 mangsa telah ditutup.
Tambah Kalsom, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diminta memainkan peranan dalam menyediakan senarai lengkap mangsa.
Menurutnya, ia amat penting bagi memudahkan bantuan disediakan kerajaan negeri dan agensi lain disalurkan tanpa ada yang tercicir.
“Setiap mangsa terlebih dahulu perlu membuat laporan di balai polis berdekatan berhubung kejadian banjir yang berlaku dan mengisi borang bencana serta disahkan oleh Ketua Kampung dan JPKK,” katanya. – UTUSAN










