ALOR GAJAH: Hasrat sebuah keluarga di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah di sini untuk mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian setelah rumah didiami mereka dilanda banjir, Selasa lalu.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Nur Shamirah Mat Yusoff, 37, berkata, hujan lebat yang berterusan lebih satu jam sejak pukul 5 petang menyebabkan paras sungai di belakang taman perumahan itu naik dengan pantas.
Katanya, dia hanya menyedari air sampai di hadapan rumahnya setelah dimaklumkan jiran yang bertindak membunyikan hon kenderaan sebagai tanda amaran.
“Saya bergegas menyelamatkan barang penting yang ada dalam rumah dahulu sebelum meletakkan kenderaan di kawasan selamat. Keadaan ketika itu agak kelam kabut kerana jiran-jiran turut sama membantu memindahkan barang.
“Dalam beberapa minit air telah naik sehingga paras lutut dan mula memasuki rumah melalui pintu dapur. Peti sejuk, perabot dan permaidani tidak sempat diselamatkan kerana sudah ditenggelami air. Disebabkan itu, perancangan untuk mengadakan rumah terbuka Aidilfitri dalam masa terdekat terpaksa dilupakan kerana keadaan rumah yang kotor dan berlumpur,” katanya.
Pada pukul 2 petang semalam, satu-satunya pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka pada malam Selasa lalu di Melaka iaitu di Balai Raya Bukit Balai, Durian Tunggal dengan menempatkan seramai 55 mangsa ditutup.
Sebanyak 10 kawasan dalam daerah Alor Gajah terjejas banjir antaranya Kampung Bukit Tambun, Pekan Lubok China, Kampung Brisu, Kampung Pulau dan Taman Masjid Tanah Ria.
Tambah Nur Syamirah, dia merayu pihak berwajib segera mengatasi masalah perparitan yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan perumahan berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Faizul Amir Hisahammuddin, 17, berkata, dia tidak menyangka rumahnya akan dilanda banjir kilat memandangkan keadaan cuaca yang panas ketika ini.
Menurutnya, beberapa perabot dan permaidani rosak kerana tidak sempat dialihkan susulan paras air yang naik mendadak kira-kira pukul 7.30 malam.
“Walaupun banjir kilat berlaku selama dua jam tetapi nilai kerosakan disebabkan kejadian ini agak besar. Rangka kayu pada sofa dan meja telah rosak manakala permaidani diselimuti lumpur termasuk beberapa kelengkapan yang dibeli sebelum hari raya,” katanya. – UTUSAN










