MELAKA: Tembok Masjid An-Ni’mah, Kampung Bukit Piatu di sini pecah selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian awal pagi, semalam.
Insiden melibatkan sebuah kereta Toyota Corolla Altis berlaku kira-kira pukul 2 pagi, namun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kecederaan melibatkan jemaah.
Kemalangan itu merupakan nahas kali kedua menimpa masjid berkenaan selepas kejadian sama dilaporkan berlaku pada Mac 2020.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kereta terlibat dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun yang mendakwa gagal mengawal kenderaannya berikutan cuba mengelak seekor anjing.
“Pemandu kereta sedang dalam perjalanan dari Taman Semabok Perdana menuju ke Bukit Baru dan mendakwa ada seekor anjing melintas secara mengejut.
“Akibat rempuhan tersebut keretanya mengalami kerosakan pada bahagian kanan manakala tembok masjid telah runtuh. Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 iaitu gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan. – UTUSAN










