ALOR GAJAH: Seorang pemandu bas maut manakala tujuh penumpang cedera selepas bas ekspres dari Johor itu merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 220.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, Zulkarnain Jalil, 41, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika bas ekspres yang membawa 30 penumpang dalam perjalanan dari Stesen Larkin di Johor Bahru, Johor menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur.
“Setiba di lokasi bas berkenaan telah melanggar belakang sebuah treler yang membawa muatan pasir kaca di lorong pertama.
“Akibat rempuhan tersebut, pemandu bas mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Dua penumpang yang cedera termasuk seorang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan sementara lima penumpang menerima rawatan di Hospital Rembau, Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Arshad, tujuh penumpang yang terlibat berusia antara 16 hingga 53 tahun dengan seorang daripadanya merupakan warga Bangladesh.
“Nahas berlaku di jalan tiga lorong, lurus dan mendaki bukit sementara cuaca adalah baik tetapi gelap kerana tidak mempunyai lampu jalan. Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










