Pelajar kolej komuniti maut pulang bersahur

Pelajar kolej komuniti maut pulang bersahur

LOKASI kemalangan maut membabitkan seorang pelajar Kolej Komuniti Jasin di Jalan Kampung Sebatu, Sungai Rambai, Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang pelajar Kolej Komuniti Jasin maut ketika pulang daripada bersahur dalam kejadian di Jalan Kampung Sebatu, Sungai Rambai di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, mangsa, Ibrahim Mohd. Adham, 19, yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kemalangan pada pukul 4.50 pagi manakala siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan tercampak ke tepi jalan.

“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan sebuah kenderaan di Kampung Sebatu di mana mangsa dari arah Sungai Rambai menghala ke Merlimau. Semasa sampai di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas dan tercampak ke tepi jalan.

“Dalam kemalangan ini mangsa telah disahkan meninggal di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita.

Tambah Ahmad Jamil, ketika kejadian mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang bersama rakannya ke rumah sewa di Merlimau selepas bersahur di restoran.

“Mangsa berdua, tetapi kawannya berada jauh di hadapan dan tidak nampak kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN