MELAKA: Seorang pekerja kedai aksesori kenderaan menemui ajal selepas motosikal ditunggangnya merempuh belakang sebuah jengkaut dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, B.V. Ruvendran, 29, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kaki kiri dalam insiden kira-kira pukul 1.35 pagi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Kandang ke Merlimau.
“Setiba di lokasi, si mati telah melanggar bahagian belakang sebuah jengkaut dan terjatuh di lorong kanan jalan.
“Akibat kemalangan itu, si mati mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta kaki kiri dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita.
Tambah Christopher, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










