Maut dalam perjalanan ke rumah nenek

Maut dalam perjalanan ke rumah nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat seorang remaja lelaki untuk ke rumah neneknya tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi tadi, Nur Aqmal Danish Syamshur, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan patah tangan manakala rakannya, Muhammad Zulfakar Mohd. Hairul, 18, mengalami luka di tangan kanan.

NUR AQMAL DANISH SYAMSHUR

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC yang dibonceng mangsa terbabas.

“Hasil siasatan mendapati mangsa dari arah Kota Laksamana menghala ke arah Melaka Raya. Setibanya di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang rakan mangsa telah terbabas dan jatuh di pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya mengalami luka pada tangan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita.

Tambah Christopher, ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai dipercayai dalam perjalanan ke rumah neneknya di Merlimau.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan adalah lurus dan keadaan permukaan jalan basah kerana hujan.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN