MELAKA: Polis mengklasifikasikan kematian seorang lelaki berusia 69 tahun yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah kedai di Taman Kerjasama, Bukit Beruang di sini, semalam sebagai mati mengejut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam kira-kira pukul 9.45 pagi.
Katanya, maklumat awal daripada saksi yang juga pemilik kedai tersebut telah melihat seorang lelaki terbaring di hadapan kedainya.
“Saksi cuba mengejutkan mangsa tetapi tidak berjaya dan kemudian meminta orang awam menghubungi polis dan petugas kesihatan. Mangsa kemudian disahkan telah meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya kepada pemberita.
Tambah Christopher, semakan dengan ahli keluarga dan pihak hospital mendapati, mangsa mempunyai rekod perubatan komplikasi kencing manis kronik.
“Permit kubur telah dikeluarkan dan si mati diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – UTUSAN










