JASIN: Hasrat sebuah keluarga mengadakan majlis akikah untuk anak mereka yang berusia dua bulan tidak kesampaian, apabila bayi lelaki itu maut dalam satu kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 184 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi tadi, mangsa, Mohamad Sufyan Mohamad Shahizwan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler Scania, sebuah lori Hino serta empat buah kereta Ford Ranger, Perodua Myvi, Perodua Ativa dan Mercedes Benz.
Jelasnya, insiden dipercayai berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun hilang kawalan lantas merempuh Perodua Ativa dinaiki empat sekeluarga termasuk bayi berkenaan di lorong kiri.
“Treler itu kemudiannya merempuh empat kenderaan lain dari belakang. Akibat rempuhan tersebut seramai lapan individu mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan, tengkuk, kaki, bibir, tangan dan dada.
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.55 petang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Ahmad Jamil, ketika kejadian keluarga itu dalam perjalanan dari Putrajaya ke Kluang, Johor untuk mengadakan kenduri akikah mangsa.
“Polis sudah mengambil sampel darah pemandu treler untuk analisa kimia bagi memastikan ada atau tidak kandungan alkohol. Ujian saringan air kencing masih belum dapat dijalankan kerana pemandu treler terpaksa ditahan di hospital akibat tekanan darah rendah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










