KUALA LUMPUR: Semua penghuni yang kediaman mereka terjejas dalam kebakaran di tingkat 17 Blok 70 Flat Sri Sabah, Cheras di sini, malam tadi ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras.
Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Sri Sabah 3B, Zainal Abidin Abd Wahab berkata, seramai 16 penghuni daripada lima keluarga kini berada di PPS terbabit sejak pukul 2 pagi tadi.
Menurut beliau, perkara itu diputuskan setelah perbincangan dilakukan pihak persatuan penduduk bersama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Guru Besar SK Sri Cheras.
“Pada mulanya kita ingin menempatkan mangsa di Blok 66, namun kawasan terbabit agak sempit.
“Akhirnya kita putuskan untuk menempatkan kesemua mangsa di SK Sri Cheras buat sementara waktu,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi hari ini mendapati anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas DBKL masih berada di flat berkenaan untuk pemantauan lanjut.
Anggota PDRM turut mengawal laluan masuk ke tingkat atas flat terbabit yang dilaporkan terbakar kira-kira pukul 9.19 malam tadi.- UTUSAN










