ALOR GAJAH: Seorang pekerja chalet maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar dua ekor kambing dalam kemalangan di Jalan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi tadi, mangsa, Muhammad Fahmi Aqil Hasim, 19, maut di lokasi kejadian akibat keceradaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam perjalanan dari arah Kampung Nelayan menghala ke tempat kerjanya.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar dua ekor kambing dan jatuh terbabas ke sebelah kanan jalan lalu melanggar tiang elektrik. Terdapat kesan geseran di tempat kejadian.
“Akibat kemalangan tersebut mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Arshad, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
“Kenderaan terlibat telah ditahan dan akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. Saksi awam diminta tampil membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










