ALOR GAJAH: Seorang remaja lelaki maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Telok Gong, Pengkalan Balak di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 pagi itu, mangsa, Mohamad Iqmal Daniel Iskandar (gambar kecil), 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dan dibonceng dua adiknya, masing-masing berusia 11 dan 13 tahun dalam perjalanan dari Kuala Sungai Baru menghala ke Masjid Tanah.
“Nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Axia dari arah sama yang dipandu seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun telah membelok ke kiri untuk memasuki simpang ke rumahnya. Mangsa yang datang dari belakang telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Dua pembonceng motosikal yang mengalami luka mulut dan kaki terseliuh telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas yang melihat kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati keadaan jalan di lokasi nahas adalah satu lorong dua hala dan lurus manakala keadaan cuaca baik dan cerah.
“Terdapat serpihan komponen kenderaan ditemui di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu kereta diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
“Kenderaan terlibat akan di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN










