Mayat Danish dihanyutkan 1.3 kilometer dari lokasi jatuh

Mayat Danish dihanyutkan 1.3 kilometer dari lokasi jatuh

ANGGOTA bomba mengangkat mayat Muhammad Danish Mohd. Faizal yang ditemui terapung dalam longkang besar di Taman Desa Baru, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Mayat seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang terjatuh di sebatang longkang di Taman Goodwood, Bukit Palah di sini petang semalam, berjaya ditemukan selepas terapung dalam longkang besar di Taman Desa Baru berhampiran Hospital Melaka kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Danish Mohd. Faizal anak bongsu daripada empat beradik ditemui kira-kira 1.3 kilometer dari tempat kejadian oleh sepasang suami isteri yang turut membantu mencari kanak-kanak malang itu.

Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, sewaktu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh menyambung operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam mengenai penemuan satu objek terapung di longkang besar taman berkenaan.

Menurutnya, Pasukan Penyelamat di Air (PPdA) telah dihantar ke lokasi penemuan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati objek yang terapung itu adalah mayat kanak-kanak yang dilaporkan hilang petang semalam.

“Mangsa ditemui dalam longkang selebar 10 kaki pada kedalaman hampir dua meter selepas pencarian dilakukan kira-kira 18 jam sejak petang semalam.

“Kita angkat mayat itu ke kawasan lebih sesuai untuk proses pengecaman sebelum menghubungi polis dan Hospital Melaka. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Muhammad Danish hilang dipercayai terjatuh dalam sebatang longkang di Taman Goodwood ketika hujan lebat kira-kira pukul 3.30 petang.

Operasi SAR dijalankan JBPM di dalam longkang selebar dua kaki dengan kedalaman satu meter itu.

Ibu mangsa, Nor Amiza Che Kar, 28, berkata, Muhammad Danish hilang ketika dia sedang berniaga nasi kerabu di lokasi kejadian.

NOR AMIZA Che Kar menunjukkan gambar anaknya yang dipercayai hilang terjatuh dalam longkang di Jalan Bukit Baru, Bukit Palah, Melaka. – UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD

Tambah Zulkhairani, mayat mangsa berada dalam keadaan sempurna ketika ditemukan, namun terdapat kecederaan pada bahagian kepala.

“Bomba menyedari mayat mangsa akan dibawa ke kawasan longkang lebih besar selepas pencarian petang semalam sejauh 150 meter di kawasan berdekatan tidak menemui mangsa.

“Berdasarkan peta diberikan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), laluan longkang di tempat kejadian akan menyusuri longkang besar di Taman Desa Baru seterusnya ke Sungai Melaka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN