ALOR GAJAH: Tindakan cuai seorang wanita meninggalkan dua anaknya dalam kereta di tepi jalan di Jalan Melaka Pindah di sini, hampir meragut nyawa salah seorang daripadanya, selepas kanak-kanak berusia dua tahun itu keluar dari kenderaan dan meluru melintasi jalan raya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.51 pagi semalam, situasi cemas itu telah menyebabkan kemalangan antara dua kenderaan yang terpaksa berhenti mengejut bagi mengelak merempuh kanak-kanak berkenaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, sebelum kejadian ibu kanak-kanak terlibat telah memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk menghantar seorang lagi anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Melaka Pindah.
“Tanpa disedari anaknya berusia dua tahun yang dibawa bersama dalam kereta telah keluar dari kenderaan dan melintasi jalan. Dalam kereta itu juga ada seorang lagi anaknya berusia lima tahun.
“Setakat ini tiada tindakan terhadap ibu kanak-kanak itu, namun telah dipanggil dan diberikan peringatan tentang aspek keselamatan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hari ini, tular satu klip video rakaman kamera papan pemuka (dash cam) daripada kereta yang terlibat kemalangan berikutan insiden itu, lalu mencetuskan perdebatan warganet dalam laman sosial.
Tambah Arshad, laporan dibuat oleh seorang guru dan operator kilang yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Tambahnya, akibat pelanggaran, penunggang motosikal berusia 28 tahun mengalami luka-luka kecil.
“Guru terbabit yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dalam perjalanan ke Lendu, setibanya di Jalan Melaka Pindah berhampiran SK Melaka Pindah dia melihat seorang kanak-kanak meluru melintasi jalan raya.
“Dia kemudian telah memberhentikan kenderaan secara mengejut menyebabkan sebuah motosikal Honda CBR 250 yang datang dari arah belakang melanggar keretanya,” katanya. – UTUSAN