Heikal tidak pernah lupa minta doa setiap kali ingin 'terbang'

Nahas pesawat terhempas: Heikal tidak pernah lupa minta doa ibu

GAMBAR Heikal Aras Abdul Azim yang disimpan di rumahnya di Desa Pinggiran Putra, Sepang, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, juruterbang yang maut dalam ‘nahas Elmina’, kelmarin tidak pernah terlepas memohon doa daripada ibunya setiap kali ingin ‘terbang’.

Ibunya, Noorhizan Mohd. Salleh, 68, ketika ditemui berkata, setiap kali sebelum penerbangan, arwah menemuinya untuk meminta restu.

“Heikal tidak pernah lupa meminta didoakan setiap kali dia ada tugasan (penerbangan),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Pinggiran Putra, di sini semalam.

Noorhizan berkata, arwah baru sahaja pulang kira-kira dua minggu lalu selepas menjalani kursus penerbangan selama tiga bulan di Amerika Syarikat.

Katanya, arwah seorang anak yang baik dan sentiasa positif dalam segala hal dan pemergiannya sangat dirasakan keluarga.

Menurutnya, dia dan suami, Abdul Azim Aras, 76, masih bersedih dengan pemergian arwah yang disifatkan ‘terlalu awal’.

“Arwah ini kalau ada masalah seberat mana pun, dia akan hadapi dengan tenang. Dia kata itu hanya masalah dunia dan sebaliknya meminta saya menjaga kesihatan diri.

“Antara lima anak, arwah paling penyabar dan sangat bertanggungjawab selain seorang yang sopan-santun serta peramah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azim berkata, dia mendapat berita berhubung nahasn itu kira-kira pukul 4 petang kelmarin menerusi perkongsian di Facebook dan kumpulan Whatsapp.

“Arwah adalah anak kedua daripada lima beradik dan adalah bapa tunggal kepada tiga anak,” katanya.

Katanya, arwah anaknya itu sebelum ini pernah bertugas di AirAsia dan Vietnam Air sebelum diberhentikan ketika pandemik Covid-19 dan menyertai Jet Valet Sdn. Bhd.

Abdul Azim juga adalah veteran Utusan Melayu dan meninggalkan akhbar itu sekitar 1977 sebagai wartawan kanan sebelum menyertai akhbar Suara Rakyat dan Mingguan Rakyat.

Turut menziarahi keluarga arwah termasuk beberapa veteran Utusan Melayu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar yang juga rakan Abdul Azim selain Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, Rozaid Abdul Rahman.

Rozaid ketika ditemui berkata, beliau hadir mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN