Laporan Batang Kali belum dibentang kepada Jemaah Menteri

Laporan tanah runtuh Batang Kali belum dibentang kepada Jemaah Menteri

Batang Kali
KEJADIAN tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm dekat Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022 yang mengorbankan 31 orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Kerja Raya tidak dapat membentangkan laporan penuh kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lalu kepada Jemaah Menteri kerana belum mendapat ulasan dan pandangan daripada agensi lain yang terlibat.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah menyiapkan laporan penuh berhubung kejadian yang meragut 31 nyawa itu.

Menurutnya, pihaknya masih menunggu laporan ulasan dan pandangan agensi terlibat sebelum ia dapat dibentangkan kepada Kabinet secepat mungkin.

“Tidak ada masa yang tepat untuk menghantar laporan penuh kepada Jemaah Menteri selagi ulasan dan pandangan daripada agensi lain yang terlibat tidak diterima.

“Kita sudah majukan (laporan) kepada agensi terbabit untuk segera memberi ulasan dan pandangan secepat mungkin sebelum ia dibentangkan kepada Jemaah Menteri nanti.

“Selain itu, kita menunggu laporan daripada kerajaan negeri kerana Jalan Batang Kali adalah kategori jalan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pegawai Kanan (SOC) JKR 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir di sini, hari ini.

ALEXANDER Nanta Linggi menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada SOC JKR 2023 di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, laporan hasil penemuan insiden tragedi tanah runtuh Batang Kali akan diperoleh pada akhir Jun lalu dan kemudian dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sebelum dimuktamadkan untuk semua pihak terlibat mengambil tindakan selanjutnya.

Anggota keluarga mangsa insiden dilapor mempersoalkan mengapa kerajaan sehingga kini belum mengeluarkan laporan penuh siasatan tragedi itu.

Kejadian tanah runtuh di Tapak Perkhemahan Father’s Organic Farm pada 16 Disember 2022 membabitkan jumlah mangsa maut kedua terbesar selepas kejadian Kondominium Highland Towers yang runtuh pada 1992 dengan mengorbankan 48 nyawa.

Tambah Alexander, pihaknya tidak menetapkan satu tempoh tertentu sebelum laporan penuh dibentangkan kerana ia bergantung kepada ulasan dan pandangan agensi terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN