MELAKA: Pengetua sebuah sekolah arab di Alor Gajah dekat sini dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan buli dialami suspek berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adik kandungnya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Bukit Piatu di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, segala maklumat berkaitan perkara itu sedang dikumpul oleh pelbagai agensi terlibat.

Bagaimanapun, jelasnya, tindakan remaja berkenaan tidak boleh dikaitkan secara terus berpunca daripada kejadian buli di sekolah, yang mana siasatan terperinci perlu dilakukan untuk membuktikan perkara tersebut.
“Pengetua sekolah terlibat juga telah dipanggil untuk memberikan penjelasan dan pencerahan supaya semua agensi dapat mengkaji segala kebarangkalian yang ada.
“Bukan mudah untuk kita kaitkan kejadian yang berlaku itu dengan kes buli di sekolah, sebab itu kita tengah buat siasatan untuk kumpul maklumat, bukan sahaja di peringkat siasatan polis tetapi jabatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, bapa kedua beradik itu berkata, dia percaya tragedi menyayat hati yang menimpa keluarganya berpunca daripada masalah trauma dihadapi anak sulungnya selepas menjadi mangsa buli di sekolah.
Katanya, anaknya mendakwa pernah dicekik ketika tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang menggunakan kasut but oleh dua orang senior sekolah berkenaan sejak di tingkatan satu.
Tambah Rahmad, semua sekolah di negeri ini diingatkan agar tidak menyembunyikan kes-kes buli yang dilaporkan bagi mengelakkan berlakunya jenayah lebih besar.
“Saya mengingatkan semua sekolah, khasnya sekolah berasrama penuh supaya sentiasa memantau pelajar-pelajar terutamanya junior yang ada kemungkinan minggu orientasi mereka tak berkesudahan.
“Jadi saya menyarankan supaya semua sekolah melibatkan pengetua, warden memastikan tidak berlaku kes-kes buli di sekolah dan tidak menyembunyikan kes itu supaya tidak berlaku insiden lain di luar jangka,” katanya. – UTUSAN