ALOR SETAR: Pasangan suami isteri yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kulim, dekat sini kelmarin berhasrat mengadakan majlis akikah untuk bayi mereka yang berusia hampir dua bulan pada hari kedua sambutan Hari Raya Aidiladha, esok.
Ibu tiri kepada mangsa lelaki, Hasnah Hashim, 48, berkata, kehilangan Muhammad Izham Che Johar, 32, dan isteri, Kamilah Ali, 30, bersama bayi mereka, Arwaa Ulyaa, yang berusia dua bulan serta besannya, Rosnah Mokhtar, 59, sangat meruntun perasaan keluarga.
“Kali terakhir saya dan suami (Che Johar Jaafar, 63) jumpa mereka ketika menantu lepas pantang kelmarin. Mereka cadang jumpa hari raya nanti selain menjemput kami ke rumah mereka di Kuala Ketil untuk kenduri akikah cucu.
“Sebab itu sedih sangat sebab mereka pergi sekelip mata termasuk besan saya. Apa pun kami sekeluarga reda,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, keempat-empat mangsa meninggal dunia akibat cedera parah setelah kereta dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah treler di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, Kulim.
Dua lagi penumpang kereta jenis Perodua Bezza dinaiki keluarga itu iaitu anak sulung pasangan tersebut, Aisyah Rumaisa, dua tahun dan adik Kamilah, Izzudin, 14, yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Kulim.
Menurut Hasnah, anaknya sekeluarga kini menetap di Kuala Ketil bersama mentua kerana mengusahakan ladang ternakan kambing dan lembu.
“Mereka berkahwin tiga tahun lepas dan anak memang bercadang menetap di sana sebab rumah baharu yang arwah bina sudah siap. Mereka cadang nak masuk rumah lepas Aidiladha nanti.
“Suami beritahu arwah memang agak sibuk kebelakangan ini sebab nak uruskan lembu untuk korban, mungkin sebab itu dia agak kepenatan,” katanya.
Tambah guru agama ini, kesemua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat Asar semalam di Tanah Perkuburan Parit Panjang, Kuala Ketil.
Hasnah pada masa yang sama meminta agar orang ramai tidak menyebarkan lagi video kemalangan tersebut yang tular dalam media sosial sejak semalam.
“Kami sekeluarga tidak sanggup nak tengok video itu kerana sedih dan sayu sangat. Kami harap semua pihak faham perasaan keluarga,” katanya. – UTUSAN










