Rumah terbakar hari pertama Ramadan

Rumah terbakar hari pertama Ramadan

NUR SHAZLIN Ahmad Wahi menunjukkan bilik tidur anaknya yang musnah dalam kebakaran di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Saya anggap musibah ini ‘hadiah’ hari lahir yang kebetulan jatuh pada hari pertama Ramadan”.

Itu luahan Nur Shazlin Ahmad Wahi, 44, selepas rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu musnah hampir 30 peratus dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah di Taman Merdeka Jaya di sini, malam Khamis lalu.

Katanya, kebakaran itu turut memusnahkan kelengkapan persekolahan seperti pakaian dan buku sekolah anak sulungnya yang baharu sahaja dibeli.

“Ketika kejadian saya mahu masuk tidur dan semasa menutup lampu, saya terhidu bau asap yang kuat. Saya menyangka jiran sedang membakar sampah, rupa-rupanya bilik anak yang terbakar.

“Api marak dengan sangat cepat termasuk di bahagian bumbung rumah. Menyedari api telah merebak ke bahagian siling ruang tamu, saya terus bergegas mendapatkan anak-anak serta dokumen penting dan keluar menyelamatkan diri.

“Sebaik keluar saya lihat rumah jiran telah dijilat api. Saya reda dengan kejadian ini walaupun berlaku pada hari lahir sendiri dan bersyukur kerana anak-anak selamat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya.

Tambah Nur Shazlin, dia tidak menyangka keengganan anaknya tidur di bilik sendiri pada malam kejadian merupakan petanda awal rumahnya akan terbakar.

Menurut ibu tunggal itu lagi, setiap tahun dia akan pulang ke Perak untuk menyambut awal Ramadan bersama keluarga tetapi tidak berbuat demikian pada tahun ini.

“Kakitangan kerajaan masih belum menerima gaji dan sebab itu saya membatalkan hasrat berkenaan. Jika saya pulang juga ke Perak mungkin rumah akan musnah sepenuhnya dan saya tinggal sehelai sepinggang.

“Selain itu, hati saya pernah terdetik tahun ini mungkin tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri kerana anak-anak akan beraya bersama ayah mereka. Sangkaan itu tepat kerana kerosakan yang dialami agak teruk, jadi tiada lagi keterujaan hendak menyambut raya kali ini,” ujarnya sayu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya