Perit menanti khabar Edrin

Perit menanti khabar Edrin

EDRIN Baintim (tengah) bersama ibu dan bapanya di Tongod, Sandakan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: “Pada hari kelima, ibu ada terdengar suara mirip Edrin memanggil dari halaman rumah. Dia bergegas keluar, namun tiada sesiapa. Hati ibu mana yang tidak sedih, namun dia reda jika itu ketentuan takdir”.

Itu luahan keluarga kepada anggota Tentera Darat yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan di sini pada 7 Februari lalu.

Meskipun perit, mereka reda dengan apa juga ketentuan takdir sama ada Lans Koperal Edrin Baintim, 25, ditemui dalam keadaan selamat atau sebaliknya.

Ini susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota Unit Skuadron Bot Kombatan Rejimen 22 Komando, Kem Iskandar, Mersing, Johor itu telah ditangguhkan sejak kelmarin (Selasa), selepas seminggu beroperasi tanpa menemukan sebarang petunjuk.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, salah seorang abang mangsa, Andy berkata, ibu dan bapa mereka di Tongod, Sandakan, Sabah menerima apa sahaja nasib yang menimpa anak bongsu daripada 10 adik beradik itu.

Katanya, jika Edrin tidak terselamat, mereka berharap tubuhnya dapat segera ditemukan bagi membolehkan mereka melakukan perkara sepatutnya untuk upacara pengebumian.

“Ibu dan bapa kami boleh terima apa yang berlaku, cuma setelah lebih seminggu operasi SAR, mereka harap kepastian itu segera diperoleh. Kalau Edrin selamat mereka bersyukur, tetapi kalau tidak biarlah tubuh dia ditemui agar dapat kami lakukan perkara sepatutnya,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, operasi SAR Edrin ditangguhkan selepas hampir seminggu dijalankan, namun gagal menemukan sebarang petunjuk.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, bagaimanapun aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi berkaitan akan meneruskan rutin rondaan seperti biasa.

Bagaimanapun, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, pasukan komando Tentera Darat akan tetap meneruskan pencarian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×