Pelajar tingkatan empat maut dirempuh warga emas

Pelajar tingkatan empat maut dirempuh warga emas

KERETA jenis Mercedes-Benz yang memasuki laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal dalam kejadian di Jalan Bemban-Jasin, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Seorang pelajar tingkatan empat maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bemban-Jasin di sini, awal pagi tadi.

Mangsa, Raja Zuhairi Najmi Raja Din merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Mercedes-Benz yang memasuki laluan bertentangan kira-kira pukul 12.22 tengah malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintenden Mohd. Fadzli Othman berkata, kereta dipandu seorang warga emas itu turut melanggar sebuah lagi motosikal ditunggang kawan mangsa, Muhammad Adam Shaiful Amran, juga pelajar tingkatan empat di sekolah sama.

Beliau berkata, bagaimanapun Muhammad Adam hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan.

“Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati, dua sahabat itu dalam perjalanan dari arah Jasin menghala ke Bemban manakala warga emas berkenaan dari arah Bemban menghala ke Jasin.

“Semasa sampai di lokasi kemalangan, kereta terlibat dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan. Semasa memasuki laluan bertentangan, datang kedua-dua mangsa gagal mengelak dan membrek lalu bertembung.

“Dalam kemalangan tersebut, Raja Zuhairi Najmi mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di lokasi kemalangan, Muhammad Adam mendapat kecederaan ringan dihantar ke Hospital Jasin untuk menerima rawatan dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fadzli, semakan mendapati, kedua-dua pelajar terlibat tidak mempunyai lesen memandu dan motosikal jenis Honda Wave dan Honda EX5 yang ditunggang dipercayai adalah milik ibu bapa mereka.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya