Malaysia minta bantuan Indonesia kesan komando lemas

Malaysia minta bantuan Indonesia kesan komando lemas

ANGGOTA SAR sedang melakukan operasi mengesan seorang anggota Tentera Darat yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan Selasa lalu, disambung semula pukul 7 pagi tadi.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, sektor pencarian mangsa meliputi kawasan seluas 1,040 kilometer persegi itu belum menemukan sebarang petunjuk.

Katanya, Pusat Penyelarasan Carilamat Maritim (MRCC) Putrajaya telah memaklumkan kepada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia bagi membantu operasi tersebut.

“Terdapat kemungkinan mangsa telah dihanyutkan ke perairan negara jiran berdasarkan data dan maklumat Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, polis tidak menolak kemungkinan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran untuk operasi SAR seorang anggota Tentera Darat yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian memandangkan buat masa ini belum ada keperluan untuk usaha mencari bersama.

Tambah Iskandar, untuk hari ini sebanyak 18 aset diatur gerak ke lokasi pencarian, terdiri daripada 15 aset laut dan tiga aset udara dengan kekuatan anggota seramai 175 orang membabitkan pelbagai agensi.

“Kawasan pencarian dipecahkan kepada lapan sektor bagi aset di laut dan dua sektor untuk aset di udara bagi memudahkan kerja-kerja pencarian,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN