JASIN: Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa latihan juru selam dijalani anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Baintim, 25, sebelum dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan di sini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebelum didapati hilang, mangsa dan pasukannya telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki dan kemudiannya diteruskan ke kedalaman 120 kaki.
Katanya, anggota Rejimen Gerak Khas (komando) itu juga bukanlah kumpulan pertama melakukan latihan amali berkenaan, sebaliknya telah ada kumpulan lain melaksanakan penyelaman tersebut sebelum tragedi.
Jelasnya lagi, perairan Pulau Undan merupakan lokasi rutin digunakan untuk latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kawasan itu bukanlah lokasi baharu, memang melalui ATM, kawasan itu memang biasa digunakan untuk tujuan penyelaman.
“Mengikut laporan yang kita lakukan, latihan kita mengikut SOP termasuk daripada segi peralatan, kerana sebelum kejadian itu pasukan telah melakukan penyelaman sedalam 60 kaki dan diteruskan ke 120 kaki.
“Mangsa juga bukanlah dari kumpulan pertama tetapi kumpulan kedua, kumpulan pertama telah pun selesai melakukan penyelaman (latihan) itu, jadi SOP itu telah dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Anjung Batu di sini selepas meninjau pergerakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pengkalan carilamat (PHC) di Pulau Besar, hari ini.
Turut hadir adalah Panglima 21 Grup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Nubli Hashim.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, aset dan khidmat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) digerakkan hari ini yang juga hari keempat operasi SAR seorang anggota Tentera Darat yang dikhuatiri lemas ketika latihan menyelam di perairan Pulau Undan, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ini berikutan operasi meliputi kawasan seluas 1,040 kilometer persegi itu telah melepasi tempoh 36 jam tanpa sebarang petunjuk.
Tambah Adly, kementerian akan melaksanakan penilaian dalaman bagi membolehkan sebarang penambahbaikan dilakukan terhadap sistem sedia ada.
“Insiden ini juga berlaku dipercayai disebabkan arus deras, kalau kita lihat cuaca dan laut tenang tetapi arus di bawah itu mungkin berbeza dari satu keadaan ke satu keadaan.
“Operasi SAR akan diteruskan dalam beberapa hari lagi dan pencarian turut melibatkan kaedah sonar bagi mengesan sebarang radius yang berkemungkinan menjadi petunjuk keberadaan mangsa,” katanya. – UTUSAN