Obor-obor kejutkan pengunjung di Pantai Batu Hitam - Utusan Malaysia

Obor-obor kejutkan pengunjung di Pantai Batu Hitam

OBOR-OBOR yang muncul di Pantai Batu Hitam di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kemunculan lebih 100 ekor obor-obor di persisiran pantai di Batu Hitam, sepanjang kira-kira 10 meter, mengejutkan pengunjung yang hadir ke situ petang semalam.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Norisman Idris berkata, pihaknya mendapati obor-obor beracun itu terdampar sekitar pukul 6 petang.

Menurutnya, hidupan laut tersebut hadir setiap kali tiba musim tengkujuh dan berada di persisiran pantai ketika air surut di sebelah petang.

“Kami menyedari kehadiran obor-obor putih dan beracun itu ketika salah seorang petugas tercedera apabila terkena sengatan ketika mengadakan latihan renang.

“Bagaimanapun hasil tinjauan pagi tadi mendapati tiada lagi obor-obor yang muncul seperti yang berlaku petang semalam (Jumaat).

“Kemunculan sekumpulan obor-obor itu merupakan kejadian kedua berlaku pada tahun ini dan kami mendapati ia sejenis obor-obor putih yang beracun. Jika disengat boleh mengakibatkan mangsa perlu dirawat di hospital,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu Hitam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Norisman berkata, APM mengambil langkah berjaga-jaga jika terdapat lagi kemunculan obor-obor di kawasan tersebut seperti meletakkan papan tanda amaran dan menaikkan bendera merah.

“Beberapa petugas pantai juga akan memberi peringatan kepada pengunjung supaya tidak menghampiri pantai kerana bimbang akan terkena sengatan obor-obor.

“Sekarang ini adalah musim obor-obor naik ke pantai justeru kita minta agar pengunjung sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga serta mengawasi anak masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar ketika dihubungi turut menasihatkan pengunjung-pengunjung pantai supaya tidak sesekali menyentuh obor-obor tersebut.

“Pengunjung perlu menjauhi kawasan obor-obor serta elakkan bermain air atau mandi-manda di kawasan berdekatan obor-obor tersebut.

“Ini bagi mengelakkan risiko kerana khuatir terdapat obor-obor yang berbahaya seperti ‘Hydrozoan jellyfish’ atau Portugese Man o’ War dan ‘Cubozoan jellyfish’ atau Box jellyfish yang sengatannya sangat beracun yang boleh mendatangkan kesan kecederaan teruk atau sehingga kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.