BENTONG: Seorang wanita maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Kilometer 12, Jalan Bentong ke Raub (menghala ke Timur) di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa yang berusia 57 tahun dan duduk di kerusi penumpang di belakang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Pemandu kereta, seorang lelaki berusia 29 tahun bersama tiga penumpang berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 57 tahun dan pemandu treler lelaki berusia 35 tahun terselamat dan mengalami kecederaan.
Kesemua mereka dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, hasil siasatan mendapati kereta yang dinaiki mangsa datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke bandar Raub menggunakan laluan Jalan Lebu, dekat sini.
“Apabila tiba di Persimpangan Lebu, pemandu kereta tersebut dipercayai membelok ke kanan untuk keluar ke jalan utama menghala ke Raub. Tiba-tiba datang sebuah lori treler lalu melanggar bahagian sisi sebelah kanan. Pelanggaran itu menyebabkan kereta berkenaan berpusing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zaiham, kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa seorang wanita yang duduk bahagian belakang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes kemalangan ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya. – UTUSAN