Rumah terbakar angkara bapa saudara sakit mental - Utusan Malaysia

Rumah terbakar angkara bapa saudara sakit mental

TIGA buah kediaman yang musnah dalam kebakaran di Kampung Banggol, Kota Bharu, Kelantan hari ini. -UTUSAN/ ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang peniaga pakaian terpakai atau bundle kerugian RM20,000 selepas semua barangan jualannya terbakar dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat bapa saudaranya yang mengalami masalah mental dalam kejadian Kampung Banggol di sini hari ini.

Kejadian tersebut turut memusnahkan dua buah rumah lagi yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Mangsa, Mohd. Syahid Sipri, 32, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira pukul 1 tengah hari selepas pulang daripada berniaga di kawasan Kedai Buloh, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini.

Menurutnya, semasa tiba di rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan pakaian bundle itu, dia melihat kepulan asap keluar dari arah ruang tamu dan mengetahui bahawa bapa saudaranya terperangkap di dalam.

“Saya cuba untuk masuk melalui pintu utama, namun, ia terkunci dari dalam. Semasa api marak, saya melihat bapa saudara keluar dari rumah itu sendiri melalui pintu tersebut.

“Saya mengesyaki dia membakar barangan di dalam rumah kerana api bermula dari dalam. Kami sekeluarga meninggalkan rumah tersebut kepadanya setahun lalu sejak dia sering meracau dan saya hanya singgah ke situ untuk menyimpan barangan niaga,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Mohd. Syahid memberitahu, dia hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal dan van jualan, namun, kesemua barangan bundle di dalam rumah hangus terbakar.

Katanya, dia kini buntu mengenangkan nasibnya apabila ditimpa musibah beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.17 tengah hari dan seramai 22 anggota bomba dari balai Kota Bharu dan Pengkalan Chepa mengambil masa hampir sembilan minit untuk sampai di lokasi kejadian. 

Menurutnya, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran yang menyebabkan kemusnahan hampir 80 peratus rumah tersebut kira-kira 20 minit kemudian.

Tambahnya, siasatan berhubung punca dan kerugian dialami mangsa masih sedang dijalankan.  –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN