TANAH MERAH: Seorang pemuda maut selepas kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori ayam di jalan Tanah Merah-Pasir Mas dekat Kampung Paloh, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 1 pagi, mangsa, Lua Qi Lim, 27, maut di lokasi akibat kecederaan parah sementara pemandu lori berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian, lori dari arah bandar Tanah Merah menghala ke Pasir Mas untuk menghantar bekalan ayam.
“Setiba di Kampung Paloh, pemandu lori berhenti di bahu jalan dan kemudiannya membuat pusingan U untuk menghala balik ke arah bandar Tanah Merah.
“Ketika lori tersebut sedang membuat pusingan U, SUV jenis Toyota Harrier yang dipandu oleh mangsa dari arah bandar Tanah Merah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pelanggaran itu menyebabkan mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa Ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan disiasat mengikut Seksyen Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE