Kemalangan bas persiaran: 19 terima rawatan di hospital - Utusan Malaysia

Kemalangan bas persiaran: 19 terima rawatan di hospital

PASUKAN Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memecahkan cermin hadapan sebuah bas express dua tingkat yang terbalik di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar awal pagi tadi. -IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan seramai 19 daripada 24 penumpang cedera dalam kejadian kemalangan bas persiaran di Lebuhraya Sultan Iskandar, Kuala Lumpur malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, dalam kejadian 12.05 malam itu, bas persiaran yang membawa 24 penumpang itu dipandu dari Ipoh menghala ke Singapura.

Kata beliau, setibanya di lokasi di Lebuhraya Sultan Iskandar, bas yang dipandu hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar tembok konkrit pembahagi jalan lalu terbalik ke sebelah kiri di laluan yang sama.

“Akibat perlanggaran tersebut, seramai 19 orang penumpang yang mengalami kecederaan manakala pemandu bas pertama dan kedua serta lima lagi penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kesemua mereka yang tidak mengalami kecederaan telah hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan selanjutnya. 

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) APJ 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik ( JSPT), Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau manamana balai Polis berhampiran,” jelasnya.

Terdahulu, tindakan pantas Pasukan Bomba dan Penyelamat, Kuala Lumpur memecahkan cermin hadapan sebuah bas bas persiaran dua tingkat yang terbalik di Lebuhraya Damansara susur ke Bangsar awal pagi tadi berjaya menyelamatkan penumpang yang berada di dalam bas berkenaan.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah serta bantuan daripada BBP Sentul dengan jumlah kekuatan seramai 18 anggota tiba dihantar ke lokasi kejadian. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN