SEREMBAN: Dua buah kereta rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Sentosa, Jalan Tun Dr. Ismail di sini malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, kejadian tersebut turut merosakkan sebuah pencawang elektrik Tenaga Nasional Bhd. (TNB) selain menjejaskan sebuah rumah.
Menurut beliau, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 8.05 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati satu kejadian tanah runtuh di mana pokok telah menghempap bumbung rumah dan pencawang TNB sehingga mengakibatkan dua buah kenderaan rosak teruk.
“Tiada mangsa dilaporkan dan ketika kejadian penduduk tiada di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohamad, pihak bomba telah menyerahkan kes tersebut kepada pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) untuk tindakan lanjut. –UTUSAN ONLINE










