TAPAH: Luluh hati seorang bapa apabila hanya mampu melihat empat anak yang terperangkap dalam kereta dirempuh treler dalam kemalangan di Kilometer 310.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Kampar semalam.
Menceritakan kejadian tragis itu, Jaafar Ahmad, 49, berkata, sebelum kejadian, kereta jenis Proton Iswara dipandunya melanggar sebuah lori di hadapan dan menyebabkan enjin kenderaan itu mati.
Katanya, dia dan tunang yang berjaya keluar dari kereta cuba mengeluarkan empat anaknya itu, namun, gagal kerana keadaan pintu belakang yang tersekat kesan hentaman dari kemalangan.
“Ketika itu tiada kenderaan lain, malah lokasi kejadian pun gelap. Saya minta tunang nyalakan lampu di telefon bimbit sebagai tanda amaran sebelum sebuah treler dilihat menuju ke arah kami.
“Saya segera berdiri di tengah jalan dan menjerit, minta treler itu agar berhenti namun kenderaan berat tersebut hanya membrek setelah begitu hampir dan merempuh kereta menyebabkan ia berpusing sebelum dilanggar lagi pada bahagian hadapan.
“Kejadian itu berlaku depan mata saya, anak-anak mati di hadapan saya. Ketika lihat treler itu menghentam kereta, saya fikir habislah anak-anak aku,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tapah di sini hari ini.
Menurutnya, dia yang terkejut segera menerpa ke arah kereta yang remuk teruk untuk melihat keadaan empat anak kesayangannya.
Katanya, sebaik pintu berjaya dibuka, dia segera memangku Muhammad Saiful Amry yang ketika itu tersepit di bahagian kaki.
“Ketika itu, saya tidak nampak kakak (Nurqalesya Adriana) sebab saya lihat keadaan Aboy (Muhammad Saiful Amry) teruk. Walaupun masih bernafas, banyak darah keluar dari mulut dan hidungnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE