4 maut nahas dengan treler, lori - Utusan Malaysia

4 maut nahas dengan treler, lori

KEADAAN kereta Proton Iswara yang remuk teruk setelah terlibat kemalangan di Kilometer 310.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Kampar awal pagi tadi. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat maut dalam dua kejadian berasingan membabitkan treler dan lori, semalam.

Di Kampar, dua beradik maut setelah kereta dinaiki yang dipandu bapa mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 310.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 pagi itu, Nurqalesya Adriana Jaafar, 12, maut di tempat kejadian manakala adik lelakinya, Muhammad Saiful Amry, 9, meninggal dunia di Hospital Tapah.

Kemalangan itu turut menyebabkan bapa mereka, Jaafar Ahmad, 49, cedera di kaki kanan manakala dua adik-beradik lain, Muhammad Yuszanizam, 14, dan Nur Airin Batrisya, 6, cedera ringan.

Difahamkan, kereta dinaiki lima beranak serta seorang wanita berusia 24 tahun itu dalam perjalanan dari Baling, Kedah ke Seremban.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan menghantar empat beradik terbabit ke rumah ibu mereka di Seremban.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara dipandu Jaafar merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berada di hadapan menyebabkan kereta itu mati enjin.

Sementara itu, di Kuala Selangor, tindakan dua lelaki menukar tayar kereta di tepi jalan berakhir tragedi selepas dilanggar sebuah lori di Kilometer 11.5 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, Bukit Rotan, di sini, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa termasuk seorang kakitangan Kementerian Kesihatan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan teruk.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati kereta Proton Preve dinaiki penyelia Kementerian Kesihatan di Seremban, Negeri Sembilan yang berusia 55 tahun sebelum itu dipercayai pancit.

Katanya, kereta Proton Wira dipandu lelaki berusia 40 tahun kemudian datang ke lokasi kejadian untuk cuba membantu di tepi jalan.

“Tidak lama kemudian, sebuah lori dari arah Kuala Selangor dipercayai gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua lelaki itu. Kejadian itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Ramli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN