MERSING: Aktiviti selam skuba, snorkeling di perairan daerah ini yang dihentikan serta-merta semalam ekoran kehilangan empat penyelam di Pulau Tokong Sanggol akan dibenarkan semula apabila penilaian risiko tentang aktiviti laut dilakukan.
Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, tambahan pula insiden melibatkan operator bot pelancongan didapati positif dadah adalah kali kedua dikesan berlaku.
Katanya, beliau tidak mahu keadaan itu menyebabkan pelancong yang datang ke daerah ini merasa ragu-ragu terhadap pemandu bot atau sebagainya.
“Aktiviti island hopping akan diteruskan apabila kita menilai semula penilaian risiko tentang aktiviti di laut. Ini merupakan insiden kedua kita dapati bahawa pemandu bot positif dadah.
“Jadi, kena ada satu pendekatan untuk kita bersama-sama dengan persatuan atau pemilik bot bagi memantau kakitangan mereka yang mengendalikan aktiviti-aktiviti di laut,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Awam Majlis Daerah Mersing hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammed Shakib berkata, di bawah akta perikanan melalui jadual bayaran Taman Laut memang terdapat permit dikeluarkan bagi mereka yang hendak melakukan aktiviti selam skuba.
“Tetapi pelaksanaan itu terbatas disebabkan perlu banyak perbincangan dengan operator-operator. RM150 satu kadar yang pada orang luar mungkin mereka boleh bayar, namun bagi penyelam tempatan mungkin ia sedikit tinggi dan perkara itu masih perlu dibincangkan,” katanya.
Tambahnya, di bawah pentadbiran Majlis Daerah Mersing (MDM) juga, undang-undang kecil tred dan perniagaan sedang dalam peringkat menguatkuasakan peraturan aktiviti air.
Katanya, melalui peraturan itu terdapat syarat bahawa pusat latihan selam skuba perlu mempunyai lesen, selain mesti melaporkan setiap aktviti mereka yang akan dikenakan bayaran setimpal.
Sementara itu, Mohammed Shakib berharap agar semua pihak menghormati masa dan ruang yang sukar sedang dilalui terutama kepada mangsa, keluarga dan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Katanya, beliau juga mengambil maklum pemberhentian aktiviti tersebut menjadi rungutan kepada pengusaha bot yang memberi komen dan pandangan di media sosial selepas notis berkenaan dikeluarkan. –UTUSAN ONLINE