KANGAR : Atikah Abd. Rahman,31, sesekali dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata dan terus setia menunggu dengan harapan suaminya ditemukan selamat dalam operasi mencari dan menyelamat di Jeti Tok Kuning di sini.
Suaminya, Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39, dan rakannya, Abdul Rashid Md Derus, 43, dikhuatiri lemas apabila tercampak ke dalam sungai selepas bot yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bot di Sungai Tok Kuning berhampiran Jeti Tok Kuning malam tadi.
Atikah yang sudah berada di jeti tersebut sejak pukul 8 pagi sesekali terpaksa ditenangkan oleh saudara-maranya yang lain.
Suri rumah itu memberitahu, suaminya sepatutnya keluar makan malam bersamanya dan dua lagi anak mereka, namun, ditangguhkan apabila menerima panggilan daripada Abdul Rashid yang meminta tolong menunda sebuah bot di jeti berkenaan selepas waktu Maghrib.
Katanya, suaminya memberitahu akan melakukan kerja tersebut terlebih dahulu dan berjanji membawa mereka sekeluarga keluar makan malam selepas itu.
“Pada pukul 9.30 malam, saya masih ada menelefonnya (suami) dan dia memberitahu bahawa urusan menunda bot tersebut telah pun siap dan akan pulang dalam masa 30 minit.
“Bagaimanapun, suami saya masih tidak pulang ke rumah selepas pukul 10 malam. Saya mula rasa tidak sedap hati tambahan pula apabila tidak dapat menghubungi telefonnya lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, bot yang dinaiki Mohd Faizal dan Abdul Rashid
telah berlanggar secara berdepan dengan sebuah bot fiber yang dalam perjalanan dari muara Sungai Kuala Perlis ke jeti tersebut.
Akibat pelanggaran, kedua-dua mangsa yang difahamkan baru sahaja selesai melakukan kerja-kerja menunda bot ke bengkel berhampiran telah tercampak ke dalam sungai.
Tambah Atikah yang tinggal di Kampung Sena di sini, dia cuba menelefon suaminya beberapa kali, namun tidak dapat, sebelum dimaklumkan mengenai kejadian tersebut daripada pihak polis.
“Malam tadi, memang saya tidak tahu apa-apa kerana terlalu terkejut dengan kejadian tersebut. Sebelum keluar menunda bot itu, dia (suami) juga sempat melayan anak-anak dengan bermain permainan video di telefon.
“Saya sangat berharap suami saya dapat segera ditemukan,” katanya sebak. -UTUSAN ONLINE