Dua maut kereta terjatuh dalam tali air ketika lari dikejar polis - Utusan Malaysia

Dua maut kereta terjatuh dalam tali air ketika lari dikejar polis

PENDUDUK kampung berusaha membantu mengeluarkan dua mangsa yang terperangkap selepas kereta yang mereka naiki jatuh ke dalam air ketika melarikan diri dari sekatan jalan raya di Kampung Ujong Batu, Utan Aji, Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sebuah tali air ketika melarikan diri dari dikejar polis dalam kejadian di kawasan sawah Kampung Ujong Batu, Utan Aji di sini hari ini.

Sebelum itu, kereta yang dinaiki dua individu tersebut tidak berhenti dan melarikan diri ketika sekatan jalan raya oleh pihak polis di Lencongan Dua Kangar.

Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd. Akmal Redzuan Romli, 21, dan Amirul Ashraf Amran, 25, yang menaiki kereta jenis Honda Civic itu maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, dua lelaki tersebut tidak memberhentikan kenderaan ketika ditahan polis dalam sekatan jalan raya itu.

Berikutan itu, katanya, polis bertindak mengejar kereta tersebut menggunakan motosikal yang melalui laluan tersebut sebelum terbabas ke dalam sebuah tali air.

Katanya, kereta suspek tenggelam di dalam tali air berkenaan sebelum penduduk kampung berhampiran datang membantu.

“Beberapa penduduk kampung yang melihat kejadian itu kemudian menarik mangsa keluar daripada kenderaan tersebut.

“Ambulans sampai di tempat kejadian pada pukul 11.40 pagi dan mengesahkan dua mangsa dalam kenderaan tersebut meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, hasil semakan mendapati kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa tersebut adalah kereta curi.

Jelasnya, kereta tersebut dilaporkan hilang di Bukit Jalil sebelum ini.

Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan seorang daripada mereka pernah disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.