PRN Johor: PH bantah tindakan PBT kenakan bayaran permit pemasangan 'billboard' - Utusan Malaysia

PRN Johor: PH bantah tindakan PBT kenakan bayaran permit pemasangan ‘billboard’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) Johor membantah tindakan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang mahu mengenakan bayaran permit pemasangan papan iklan (billboard) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, ketika ini.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pelaksanaan peraturan baharu tersebut adalah tidak wajar dan perlu dikaji semula demi kelancaran amalan demokrasi.

Menurut beliau, proses pilihan raya merupakan tuntutan manifestasi amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan bukan sahaja di negara ini, tetapi negara-negara lain dan tidak boleh disamakan dengan aktiviti komersial bersifat keuntungan.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) sewajarnya memberi kemudahan serta kelonggaran kepada semua parti politik untuk berkempen, memandangkan tempoh yang diperuntukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dua minggu sahaja.

“Pemasangan papan iklan berkenaan hanyalah bertujuan untuk memperkenalkan diri calon kepada para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dengan jumlah visual yang amat terhad,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu, tindakan mengenakan bayaran komersial untuk bahan kempen dalam tempoh dua minggu selepas hari penamaan calon adalah langkah yang tidak munasabah.

“Apa keperluan bayaran itu kerana setiap calon telah diwajibkan membuat bayaran deposit permit iklan kepada Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, mahupun Majlis Bandaraya sebelum disahkan bertanding.

“Bayaran deposit tersebut merupakan antara syarat utama yang digariskan bagi mendapatkan kelulusan permit daripada PBT dan disahkan oleh pihak SPR,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Majlis Perbandaran Kluang dapat membatalkan hasrat tersebut dengan segera bagi mengelakkan tekanan kewangan yang tidak sepatutnya berlaku kepada calon atau parti bertanding.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN