SHAH ALAM: Enam parlimen dan 34 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor dijangka mampu dikuasai Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) sekiranya kerjasama kedua-dua parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diteruskan.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, beliau mengulangi keyakinan tersebut sekiranya tiada pertembungan antara BN dan Pas di negeri ini dalam pilihan raya seperti mana pernah dinyatakannya hampir 10 tahun lalu.
“Kalau kerjasama di Negeri Sembilan seperti yang kita harapkan menjadi kenyataan, maka (dengan) formula tersebut saya yakin di Selangor juga akan memberikan kesan positif dan insya-Allah selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) BN bersama PN boleh kembali memerintah.
“Kalau bertembung juga tiga penjuru, UMNO letak calon, PAS letak calon, PH letak calon, saya kata PH akan menang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam di sini, malam tadi.
Bekas Ketua Bahagian UMNO Tanjong Karang itu menjelaskan, antara kawasan dikenal pasti boleh dikuasai BN dan PN adalah Kuala Selangor, Shah Alam, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Sungai Buloh yang kini dikuasai PH.
Sementara itu, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Subang menyatakan kerjasama antara BN dan PN disifatkan sebagai keanjalan dalam strategi politik kedua-dua parti.
“Ia satu eksperimen yang baik. Seperti saya sebut dalam ucapan, dalam politik ada anjal dan pejal. Soal kita nak bertanding macam mana strategi, itu bukan soal perjuangan. Jadi, kita boleh fleksibel dalam hal itu.
“InsyaAllah kalau ada keikhlasan, kesungguhan daripada dua-dua belah pihak. Kita nak tengoklah sama ada kita boleh bagi undi kita kepada calon PAS dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), begitu juga sebaliknya,” jelasnya. – UTUSAN










