SEREMBAN: Kempen pilihan raya seharusnya tertumpu kepada tawaran serta dasar yang ingin dibawa kepada rakyat, bukannya menjadikan serangan peribadi sebagai bahan kempen.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook justeru berkata, pihaknya mengambil pendirian untuk tidak menyerang peribadi mana-mana anggota Kabinet sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Kita perlu berkempen berdasarkan apa yang hendak ditawarkan kepada rakyat dan memperjelaskan pendirian kita.
“Saya mengambil keputusan untuk tidak menyerang mana-mana pemimpin atau mengungkit apa-apa perkara, khususnya melibatkan menteri Kabinet kerana mereka ialah rakan dalam Kabinet.
“Kita bertemu setiap minggu dalam mesyuarat Kabinet dan mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dipikul bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pendirian berkenaan selaras dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu individu memegang jawatan dalam kerajaan menjaga disiplin serta tidak menyerang Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada pilihan raya.
Katanya, pendirian itu turut diterjemahkan dengan tidak berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang ditandingi Menteri Luar merangkap Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan bagi menjaga keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, tumpuan diberikan kepada DUN Chennah yang ditandinginya, selain membantu calon-calon DAP dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkempen di DUN Linggi.
Semalam, Perdana Menteri dilaporkan berkata, pemimpin politik yang mempunyai jawatan di peringkat Persekutuan diingatkan menjaga etika berkempen dalam PRN Negeri Sembilan dan tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, jika berlaku pelanggaran etika berkempen, mereka yang berjawatan perlu meletakkan jawatan. – UTUSAN










